Friday, January 9, 2009

JAWATAN=AMANAH

Hari ini telah selesai semua rumah sukan, kelab dan persatuan melaksanakan tanggungjawab untuk membentuk jawatankuasa baru bagi sesi 2009. Suka ataupun tidak, yang terlantik berkewajipan menunaikan tanggungjawab yang terpundak di sebalik nama jawatan masing-masing.

Mungkin agak seronok bila nama dicalonkan dan menjadi calon 'favourite' dikalangan rakan-rakan, apatah lagi bila dapat memegang 'title' atau kerusi panas yang menjadi idaman ahli. Semua itu sebenarnya hanyalah satu fatamorgana yang dipaparkan oleh musuh manusia iaitu iblis agar kita mengidam dan berlumba-lumba untuk mendapatkan suatu yang sebenarnya beban yang amat berat.

Allah Taala berfirman " Manusia telah dihiaskan dengan cintakan syahawat dikalangan wanita dan anak-anak dan taman-taman yang terdiri daripada emas dan perak, dan kuda-kuda dan binatang ternakan dan ladang-ladang. Itulah kesenangan kehidupan dunia"
Surah al An'am : 14.

Pada suatu hari, seorang sahabat Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam telah berjumpa dengan Baginda dan bertanyakan satu jawatan, lalu Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam berkata : "Sesungguhnya ia (jawatan) adalah AMANAH, dan Ianya akan ditanya di hari Qiamah".

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam bersabda :" Setiap individu adalah Ra'in (Pemimpin) dan setiap Ra'in akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya"

Oleh itu, setiap kedudukan samada jawatan, pangkat, gelaran dan sebagainya adalah satu Amanah yang diberikan oleh Allah Taala kepada sesiapa yang dilantik, dan amanah itu akan dipersoalkan satu persatu walaupun sekecil zarrah. Sebab itulah dikalangan sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam dan orang yang menyedari hakikat Amanah akan cuba menghindarinya jika terdapat individu yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab tersebut. Namun, jika telah diamanahkan, dia akan cuba menunaikannya dengan sebaik mungkin.

Semoga para Pemimpin Kecil ini mempunyai satu kefahaman yang jitu dan keyakinan diri yang mantap untuk mengharungi cabaran sesi 2009. Jadikan ianya sebagai satu modul latihan untuk membentuk jatidiri dan menimba pengalaman untuk masa hadapan yang semakin mencabar.

Selamat Menjalankan Tugas.

No comments: